3.19.2009

IkaN?!

SATU lagi pendekatan yang sangat berkesan untuk melawan tekanan mental ialah berbicara dengan ikan. Dari sudut psikologi, hidupan air sebenarnya dapat memahami dan berempati dengan manusia. Lihat saja apabila anda memberi makan, apabila masuk atau beredar atau ketika anda membuat kerja seharian, seolah-olah hidupan air ini ingin mendampingi, 'mendengar' dan 'berbicara' dengan anda. Sebagaimana yang dikatakan oleh Dr Doolittle. "Oh, alangkah baiknya kalau kita dapat berbicara dengan haiwan".

Saya sendiri amat menggemari ikan emas dan koi. Di samping warnanya yang berkilau-kilauan, khususnya ikan emas, kelicinan pergerakannya menarik minat saya. Gelekannya begitu lancar dan berseni sekali sehingga anda boleh terpukau hanya dengan memerhatikannya berenang ke sana sini dan terlekat di cermin tangki berjam-jam lamanya.

Anda seolah-olah dijemput menyertainya dalam dunia marin dan untuk beberapa saat yang ajaib, anda dapat melupakan beban dan kerisauan dunia luar. Jika anda melihat mulutnya yang terbuka dan tertutup tanpa mengenal penat itu dengan lebih dekat, anda dapat membayangkan ikan itu berucap berulang kali "Sayangkan diri anda. Sayangkan diri anda. Sayangkan diri anda..."

Masyarakat Cina mempercayai bahawa ikan dan air mempunyai kesan yang menyejukkan. Ada juga orang mempercayai ikan, khususnya ikan kaloi, dapat menghalang kesan pukau (hipnosis melalui ilmu hitam bagi niat buruk) dalam rumah tuannya. Saya sendiri tidak dapat menjamin kebenaran sifat keajaiban lain ikan itu. Bagi saya, memadai yang ikan itu sebagai cara mudah untuk bersantai.

Hanya 20 saat memerhatikan ikan itu berenang tanpa sebarang beban di dunia adalah penawar terbaik yang dapat saya syorkan kepada jiwa yang keletihan dan tertekan. Kalau tidak, mengapa pula bank, hospital, kompleks beli-belah hinggakan lapangan terbang pun sudah mula meletakkan akuarium dan kolam ikan di premis mereka?

Haiwan dapat merasai kesedihan manusia
Banyak yang ditulis mengenai empati semula jadi haiwan kepada manusia. Tanyalah sesiapa yang memiliki binatang kesayangan dan dia akan menceritakan kepada anda mengenai kepekaan binatang kesayangan itu kepada angin dan emosinya. Haiwan bergerak balas kepada kegembiraan dan keterujaan kita dan menumpang saat bahagia kita. Haiwan juga dapat berasa kesedihan kita dan akan cuba menenangkan serta melindungi kita.

Kita sering kali mendengar kisah mengenai binatang kesayangan setia yang sudah mengembara berjauhan semata-mata untuk mencari tuannya dan mengenai binatang kesayangan yang masih sabar menunggu kepulangan tuan yang sudah pun meninggal dunia. Banyak lagi yang mati kerana merindui tuan mereka.

Gerak hati haiwan tidak terhad kepada emosi manusia. Ada kes yang mencatatkan bagaimana haiwan sudah meramalkan gempa bumi dan banjir yang akan datang. Pada tahap yang berlainan, ada haiwan yang menunjukkan kebolehan meramalkan masa depan, dengan memperlihatkan kelakuan yang ganjil seolah-olah mereka ada peran bencana akan menimpa.

Binatang kesayangan dapat memberi kesan terapeutik ke atas manusia. Beberapa hospital kanak-kanak sudah menggunakannya untuk membantu pemulihan pesakit mereka. Hospital lain menggunakan binatang kesayangan sebagai alat untuk menenangkan dan mengurangkan penderitaan pesakit yang menghidap penyakit yang boleh membawa maut.

Ikan lumba-lumba dan kuda digunakan untuk menolong orang cacat berhubung dengan persekitarannya. Di Jepun, binatang kesayangan menjadi cara yang berkesan untuk melawan tekanan mental yang dihadapi oleh eksekutif syarikat hinggakan pelbagai syarikat mula menyewakan haiwan kepada eksekutif mereka. Eksekutif itu dikehendaki berbicara dan bermain dengan haiwan itu ketika di rumah dan sewaktu bekerja, haiwan itu dijaga oleh kakitangan daripada syarikat binatang kesayangan itu.

1 comment:

  1. betul tu.....mmg allah maha kuasa....pandai die buat ikan.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Labels