7.22.2009

PeNg@j@ran drpd Isra' wal M!kraJ

Berdasarkan kepada peristiwa Israk Mikraj, kita memperolehi pelbagai pengajaran berharga yang terkandung di dalamnya untuk direnungi serta dihayati. Antara pengajaran berguna tersebut ialah:

1. Manusia harus sentiasa mengadakan hubungan dengan Allah, baik di kala ditimpa kesusahan mahupun di kala mendapat kesenangan. Ini kerana hanya Allah yang berkuasa memberikan pertolongan, menghilangkan segala kesedihan, dukacita dan kesusahan pada diri manusia. Sebagaimana yang diceritakan, Nabi telah ditimpa beberapa musibah sebelum terjadi Israk Mikraj. Dalam keadaan demikian, datang perintah untuk Israk Mikraj, iaitu untuk berhadapan dengan Allah swt. Ini memberi pengajaran kepada kita agar mendekatkan diri kepada Allah sewaktu didatangi musibah dan pelbagai permasalahan dalam kehidupan. Caranya ialah dengan melaksanakan semua perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya di samping terus meningkatkan ketakwaan dan amal ibadat.

2. Menjauhi perkara mungkar dan maksiat. Semasa Israk Mikraj, tepatnya sewaktu Nabi diajak meninjau keadaan neraka, baginda ditunjukkan berbagai bentuk penyeksaan dahsyat yang sedang dialami oleh berbagai kaum sebagai akibat daripada segala macam bentuk kejahatan yang pernah mereka lakukan. Misalnya Nabi diperlihatkan kepada satu kaum yang memecahkan sendiri kepala mereka dengan batu besar, setelah pecah ia kembali bertaut seperti sediakala. Nabi juga melihat bentuk penyeksaan yang lain seperti seksaan bagi pemakan riba, penzina, pengumpat, yang suka memfitnah dan lain-lain lagi. Ini semua memberi iktibar supaya kita yang hidup di dunia ini tidak melakukan segala perbuatan tercela itu dan juga pekerjaan lain yang jelas dilarang Allah kerana begitulah seksaan yang bakal diterima oleh seseorang di akhirat nanti sekiranya perbuatan yang dilarang Allah itu dilakukan.

3. Perintah solat sebagai suatu bentuk ibadah yang Allah sendiri menggariskan ketentuan mengenainya. Kewajipan solat berbeza dengan kewajipan yang lain seperti puasa, zakat dan haji. Ini adalah kerana kewajipan solat diterima langsung oleh Nabi daripada Allah sewaktu bertemu Allah pada malam Mikraj tanpa perantaraan malaikat Jibrail. Ini menunjukkan keistimewaan dan kelebihan solat berbanding ibadah-ibadah lain, dan solat juga amalan yang paling awal dihisab di akhirat kelak. Dengan solat, kita berpeluang untuk berdialog langsung dengan Allah, iaitu ketika bersolat.

4. Mengakui dan tunduk kepada kebesaran Allah sebagai pencipta agar keyakinan terhadap kekuasaan-Nya benar-benar bersemi di jiwa manusia. Ini kerana sewaktu Israk Mikraj, Allah memperlihatkan kepada Nabi akan keagungan dan berbagai keajaiban ciptaan-Nya yang terdapat di alam tinggi bernama langit itu seperti Sidratul Muntaha, syurga dan lain-lain lagi.

5. Anjuran memberi salam. Di sepanjang perjalanan Mikraj, Nabi tidak pernah lupa mengucapkan salam kepada rasul yang baginda temui. Ini mengingatkan kita kepada keutamaan memberi salam dan galakan supaya selalu memberi salam kepada saudara sesama Islam sebagai tanda penghormatan dan untuk mengeratkan hubungan.

6. Mengingatkan usia dunia yang sudah tua yang mana dibayangkan melalui pertemuan Nabi dengan seorang nenek tua. Ia memberi gambaran kepada kita yang umur dunia sudah lanjut dan hampir berlaku kiamat. Hakikat ini memperingatkan setiap Muslim bahawa segala kemewahan dan kesenangan dunia hanyalah bersifat sementara. Hanya ketakwaan dan amal salih menjadi bekalan untuk ke akhirat.

7. Berwaspada dengan rayuan dan tipu daya iblis, di mana sewaktu Israk, pada awal perjalanan lagi jin ‘Afrit telah mengejar baginda dengan membawa obor untuk menghalang perjalanan Nabi dan berusaha memperdayakan baginda. Peristiwa ini memperingatkan kita bahawa syaitan dan iblis tidak akan jemu-jemu untuk menyesat dan memperdayakan umat manusia dengan pelbagai cara.

Sidang jamaah yang dihormati,

Israk Mikraj merupakan mukjizat yang tidak diberikan kepada nabi-nabi yang lain. Justeru itu, Pelbagai pengajaran berharga yang terkandung di dalamnya hendaklah direnung dan dihayati supaya ianya dapat membantu memberikan nilai tambah dalam kehidupan, baik dalam usaha meningkatkan ketakwaan dan prestasi ibadah kepada Allah mahupun untuk peningkatan ilmu pengetahuan, terutama dalam menghadapi cabaran globalisasi masa kini. Firman Allah yang bermaksud :

“Dan tidaklah Kami mengutus rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), selain dari kalangan orang lelaki yang Kami wahikan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang yang berpengatahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”

(Q.S. An-Nahl: 43).

disebalik Isra' wal Mikraj sbgai penguat IMAN

Katakan (kepada mereka), ‘Kamu lihatlah apa yang terdapat di langit dan di bumi’..”(Surah Yunus:101). Dari 2 butir pasir di bumi hingga apa sahaja termasuk planet saling menarik antara satu sama lain dengan nilai tetap yang sama di mana-mana alam ini, G=6.67428×10E(-11)m3kg-1s-2 dalam formula F=Gm1m2/r(2) !! Subhanallah !! – Kenangan subjek Physics masa Matriculation 1983 di Australia. (Foto oleh NASA).

Pada hari Jumaat 4.7.2008 (1 Rejab) yang lalu, kita memasuki bulan Rejab yang didalamnya berlaku peristiwa Israk Mikraj yang bersejarah. Peristiwa tersebut bukan sahaja menunjukkan kekuasaan Allah swt di atas sekelian makhluqNya dan benarnya kenabian Muhammad saw, bahkan ianya juga membuka ufuk pemikiran dan cita-cita manusia sejagat dari hanya sekadar terhad kepada muka bumi ini semata-mata kepada cakerawala ciptaan Allah swt yang amat luas dan jauh, siap untuk diamati untuk lebih kita mengenali Tuhan Pencipta Agung, siap untuk diterokai agar manusia memperlengkap dan meninggikan kualiti ilmu pengetahuan demi memenuhi cita-cita tersebut.

Setelah kewafatan Khadijah ra, pendokong moral dan material perjuangan Baginda saw dan kewafatan Abu Talib, pelindung Baginda saw dari ancaman fisikal oleh kafir Quraisy pada Tahun Kesedihan, Dakwah Islam berada diposisi paling tenat disegi saikologi Nabi saw dan para Sahabat ra sendiri, maupun disegi tiadanya kemasukan baru ke dalam agama Islam dari kalangan penduduk Mekah. Dengan azam tidak menyerah kepada keadaan, Baginda saw mencuba nasib, mencari peluang baru untuk Dakwah ini di Taif, 80 km dari Mekah, namun harapan dan sangkaan Baginda saw meleset. Di Taif, Dakwah tidak diterima, Pendakwah dihina dengan dibaling batu oleh penduduknya. Pintu Dakwah ditahun ini hampir tertutup. Namun Allah swt melalui Surah Huud, mengarahkan Nabi saw terus beristiqamah menjalankan amal Dakwah ini meredah fasa-fasa gelap yang sedang menyelubunginya, tanpa isteri yang mendorong dan tanpa bapa saudara yang melindung. “Shayyabatni Huud” (Surah Huud telah mengubankan rambutku !!).

MasyaAllah !! Setelah 9 bulan perjalanan, Amerika menjejakkan alatnya di planet Marikh pada 25.6.2008 lalu dan hari ini menunjukkan fotonya kepada umat manusia di bumi. Tanah Marikh diambil dan dianalisa. Foto ini boleh tiba ke bumi dengan pantasnya, melalui perantaraan apa? Orang kafir sibuk meneroka alam baru sedang umat Islam pula sibuk melayan tuntutan Kuasa-kuasa Besar Dunia dan bercakaran sesama sendiri.

Allah swt tidak membiarkan Rasul Akhir Zaman berpanjangan dalam kemuraman seperti itu. Dakwah ini harus dipacu hingga berjaya bukan sahaja di Mekah, tetapi ke seluruh dunia, merangkumi sekelian jin dan manusia. Pada malam 27 Rejab ~620M, Jibril mengejutkan Rasulullah saw dari lamunan malam dan mengisyaratkan kepada Baginda saw bahawa kenderaan Buraq telah siap di luar sana untuk membawanya ke Masjidil Aqsa di Palestin, naik meredah 7 petala langit, ke Sidradul Muntaha melalui Baitul Makmur, memenuhi undangan Allah swt. Di Masjidil Aqsa Baginda bersolat mengimami kesemua para rasul, melihat bandar Baitul Maqdis, memilih susu dan menolak arak. Di langit, Baginda bertemu sebahagian para rasul, diperlihatkan gelagat penghuni-penghuni Syurga dan Neraka serta tanda-tanda kebesaran Allah swt yang lain. Di Sidratul Muntaha, Baginda diwahyukan Allah swt apa yang hendak diwahyukan olehNya, termasuk kewajipan Solat, ibadah yang paling utama.

Tidak seperti roket yang hanya dipakai buang sekali sahaja disetiap pelancaran dan operasi, “space shuttle” berjaya dicipta Amerika bertindak seperti teksi antara langit dan bumi, boleh diguna berulangkali. Setakat ini 4 buah space shuttle iaitu Columbia (dilancarkan pada 12.4.1981, tepat 20 tahun selepas Yuri Gagarin, manusia pertama ke angkasalepas), Challenger, Endeavour dan Atlantis telah dihasilkan. Tiap satu memakan belanja setahun budget seluruh negara sedang membangun di dunia.

Sekembalinya Nabi saw ke Mekah dari langit, kekuatan Baginda saw untuk berdakwah lebih kental. Segelintir orang Islam murtad kerana tidak dapat menerima hakikat boleh berlakunya peristiwa Muhammad saw pergi ke Palestin dan langit serta kembali semula dalam malam yang sama. Para Sahabat ra yang lain bertambah keyakinan dan kekaguman mereka kepada Nabi tercinta. Bagi Nabi saw pula, melihat sendiri kesudahan manusia di Syurga dan Neraka sudah cukup memberi motovasi penuh untuk menyelamatkan mereka didunia lagi, sebelum mereka menempuh alam Pengadilan dan Pembalasan, belum lagi berpeluang menerima wahyu langsung dari Allah swt di Sidratul Muntaha. Tiga tahun selepas itu, keimanan baru, lebih tinggi dan teruji inilah yang menjadi asas kepada Hijrah dan penegakkan Negara Islam di Madinah.

Ini foto bersejarah kerana kali pertama foto bumi diambil dari angkasalepas (pada ketinggian 300 kilometer). Foto ini diambil oleh Yuri Gagarin, angkasawan Rusia dan manusia ketiga ke angkasalepas pada 12.4.1961, selepas Nabi Isa as (selepas percubaan membunuhnya) dan Rasulullah saw (dalam peristiwa Israk Mikraj).

Dari sinopsis ringkas peristiwa Israk Mikraj, dapat disimpulkan sebahagian pengajaran berguna untuk umat selepasnya dan kita seperti berikut :

  1. Kehebatan dokongan isteri, kerukunan rumahtangga adalah salah satu asas kejayaan dalam diri Pendakwah dan Dakwah itu sendiri.
  2. Perlindungan seperti yang diberi oleh sesiapa contohnya Abu Talib, biar pun dia bukan seorang Islam, adalah penting dalam memastikan Islam berkembang tanpa gangguan terutamanya di fasa awalnya.
  3. Kepentingan Masjidil Aqsa dan Palestin di dalam perjuangan Uslam dan umat.
  4. Dengan Nabi saw menjadi imam semua para Rasul yang lain di Masjidil Aqsa, hari ini dan selepas ini, umat Islam mestilah menjadi imam (pemimpin dan pembimbing) kepada umat-umat yang lain, dan bukan sebaliknya seperti yang berlaku hari ini. Umat Islam mesti bekerja ke arah itu.
  5. Solat adalah ibadah terpenting dalam Islam. Di Hari Kiamat, tidak dinilai amalan-amalan lain jika solatnya dinilai sebagai gagal.
  6. Iman pendokong-pendokong perjuangan Islam, termasuk para Sahabat ra akan terus menerus melalui proses penapisan, untuk membeza dan mengasingkan permata dari kaca.
  7. Negara Islam tertegak bila ada jemaah manusia yang bersedia memikul tanggungjawab tersebut dengan keimanan yang telah teruji seperti para Sahabat ra.
  8. Umat Islam dituntut melihat cakerawala dan kehebatan penciptaannya, bukan terhad atau terkongkong kepada apa yang ada di bumi sahaja.

Masjid Kubah Batu (Pelancaran), di tengah-tengah Masjidil Aqsa, Palestin. Di sini tempat pelancaran kenderaan Buraq membawa Rasulullah saw ke Sidratul Muntaha, menembusi 7 petala langit dan Baitul Makmur. Hari ini ia ditawan oleh Yahudi yang dilaknat Allah swt. Pembebasannya sebelum Hari Kiamat dijamin Allah swt. Bila ? Siapa pembebasnya ? Apa ciri-ciri mereka ? Bagaimana mereka dididik (dihasilkan) ?

Marilah kita sama-sama merai dan memperingati peristiwa bersejarah dan besar ini, dengan mengatur atau menghadiri ceramah mengenainya. Jauh lebih itu ialah mencedok pengajaran-pengajaran darinya untuk kehidupan berkeluarga bersama anak isteri dan perjuangan bersama-sama teman-teman yang beriman. Sekian.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Labels